Salah satu faktor penting dalam kemelut politik yang melanda Malaysia pada masa kini adalah faktor ketakutan pada perubahan mendadak ataupun dalam ertikata yang lain, "takut kepada yang tidak dikenali". Walaupun rasa kejelekan terhadap pemerintahan Barisan Nasional kian bertambah di kalangan rakyat akar umbi, rasa takut kepada perubahan ini mungkin akan mendorong sesetengah pengundi untuk terus mengundi BN dalam pilihanraya yang akan datang. Pengundi masih tidak dapat membayangkan kerajaan baru parti alternatif. Tentunya, BN sedar bahawa faktor "takut pada yang baru" ini adalah faktor yang paling penting dan kini sedang mengeksploitasikan faktor ini sebanyak yang boleh.
Memang dasar manusia takut kepada yang tidak dikenali, dan hakikat ini mesti diambilkira jika parti alternatif mengharapkan apa jua peluang kemenangan dalam pilihanraya yang akan datang. Beberapa parti alternatif sedar tentang masalah ini dan sedang meneliti bagaimana faktor ini boleh ditangani. Di sini dibincangkan kekuatan dan kelemahan beberapa strategi untuk mengurangkan rasa takut ini.
1. "BUKAN KUASA KESELURUHAN - MEMADAI SEKADAR MEMATAHKAN MAJORITI DUA PERTIGA BN"
Cadangan DAP supaya parti alternatif hanya cuba menamatkan majoriti dua pertiga BN dan bukannya untuk membentuk kerajaan jelas telah dicadangkan supaya perasaan takut ini boleh diatasi, terutamanya kebimbangan yang dianggap paling kuat dikalangan masyarakat Cina. Ini jelas satu usaha yang gigih untuk mengurangkan ketakutan dikalangan pengundi untuk mengundi untuk parti alternatif.
Malangnya, walaupun strategi ini pada sekali imbas nampak berkesan, ianya mempunyai beberapa masalah. PERTAMA, parti-parti lain kurang bersetuju dengan strategi ini. Gesaan mereka untuk pemerintahan BN ditamatkan mengurangkan keberkesanan usaha DAP ini. KEDUA, mengumumkan bahawa parti alternatif tidak mahu membentuk kerajaan hanya boleh dipercayai sekiranya parti alternatif bertanding dalam kurang dari setengah kerusi. Parti alternatif telah mengatakan bahawa setiap kerusi akan ditandingi. Kebanyakan pengundi sedar, samada parti alternatif mengakui ini atau tidak, bahawa ada kemungkinan parti alternatif akan menang lebih dari setengah jumlah kerusi. Jadi, sesetengah pengundi masih tetap akan mengundi berdasarkan faktor ketakutan ini. Pengundi juga mungkin merasakan bahawa strategi ini seolah-olah memperkecilkan kepintaran mereka. Strategi ini mungkin tidak sebenarnya mengurangkan rasa takut dikalangan pengundi.
2. MENYATAKAN BAHAWA PELUANG KEMENANGAN ADALAH TIPIS
Daripada mengatakan bahawa parti alternatif tidak mahu membentuk kerajaan, strategi lain yang telah dianjurkan adalah dengan mengakui bahawa peluang kemenangan mungkin agak tipis. Strategi ini mungkin lebih efektif dan jujur. Sesetengah tokoh parti alternatif dan pengulas bebas sememangnya menegaskan hal ini. Strategi ini tidak "mempersendakan" pengundi. Para pengundi sudah pun arif bahawa peluang kemenangan bagi parti alternatif adalah tipis. Setiap hari, lebih ramai masyarakat Malaysia yang kian sedar tentang "kelebihan" yang sedia ada yang boleh dipergunakan oleh BN dan juga hakikat bahawa pilihanraya di Malaysia, dari berbagai segi, tidak boleh dianggap bebas dan adil samada dari segi proses pilihanraya itu sendiri maupun dari segi konteks nasional. Parti alternatif serta ahli-ahli masyarakat madani pada umumnya mesti terus meningkatkan kesedaran tentang ketidakadilan ini.
Namun, strategi ini juga boleh mendatangkan kesan yang sebaliknya. Kebanyakan orang sukakan kemenangan dan perlu bergantung kepada harapan kemenangan. Separuh dari kekuatan yang ada pada pergerakan reformasi buat masa ini bergantung kepada harapan bahawa kemungkinan kemenangan itu adalah besar dan reformasi akan berlaku. Jadi jika parti alternatif TERLALU memperkatakan bahawa peluang kemenangan itu adalah tipis, para penyokong mungkin patah semangat dan akan teragak-agak dalam usaha-usaha berkempen. (Objektif DAP untuk mematahkan majoriti dua pertiga juga menghadapi masalah yang sama).
Satu lagi masalah dengan strategi ini berpunca dari hakikat bahawa taktik-taktik kotor BN yang paling efektik bergantung pada kepercayaan bahawa BN akan menang. Contohnya, janji-janji BN untuk membawa pembangunan dan sistem pemerintahan yang berunsur naugan atau patronage hanya bermakna kepada pengundi sekiranya mereka percaya BN akan membentuk kerajaan. Dengan cara yang sama, ugutan (samada secara langsung atau tidak) terhadap kawasan-kawasan yang mengundi parti-parti alternatif hanya akan berkesan sekiranya pengundi yakin bahawa BN akan menguasai pemerintahan. Jadi sekiranya parti-parti alternatif mengatakan bahawa peluang kemenangan BN adalah tinggi, ianya hanya memperkuatkan lagi keberkesanan taktik BN. (Sekali lagi, objektif DAP mematahkan majoriti dua pertiga menghadapi masalah ini juga).
Justeru itu, parti alternatif harus berhati-hati apabila memperkatakan isu kemenangan. Mereka tidak boleh terlalu meninggikan harapan untuk menang disebabkan faktor "ketakutan" itu tadi. Pada masa yang sama, mereka juga tidak boleh menerampilkan perjuangan ini seolah-olah ianya tiada harapan untuk menang.
3. PERJANJIAN UNTUK SETIA KEPADA KATA SEPAKAT MANIFESTO BERSAMA
Manifesto Bersama Barisan Alternatif yang dijanjikan boleh menjadi faktor yang kuat dalam mengurangkan perasaan takut terhadap perubahan dengan menjelaskan kepada rakyat dasar-dasar pihak alternatif. Lapuran mengatakan bahawa Barisan Alternatif sudah pun mencapai persetujuan untuk berkempen atas Manifesto Bersama yang pada asasnya tidak menyentuh dasar-dasar sesetengah parti yang dianggap kontroversial, dan sebaliknya menumpukan usaha kepada isu-isu bersama yang diperjuangkan oleh setiap parti.
Bagaimana manifesto ini dapat mengurangkan perasaan takut kepada perubahan ini bergantung kepada cara manifesto akan digunakan oleh Barisan Alternatif. Jika pengundi mengesyaki bahawa sesebuah parti alternatif masih bertegas untuk menganjurkan dasar yang dianggap kontroversial walaupun dasar-dasar ini tidak termasuk dalam Manifesto Bersama, rasa takut mereka tidak akan dapat dikurangkan.
Salah satu cara untuk mengurangkan rasa takut ini adalah dengan menuntut perjanjian dari setiap parti alternatif bahawa, bagi penggal pertama Parlimen, mereka akan menumpukan perhatian kepada perubahan yang telah dipersetujui dalam Manifesto Bersama dan HANYA perubahan-perubahan tersebut. Satu cara lagi adalah dengan menyatakan perubahan-perubahan yang TIDAK akan dibuat tanpa pungutan suara atau referendum. Perubahan-perubahan berdasarkan pungutan suara ini adalah perubahan yang tidak terkandung di dalam manifesto bersama dan yang buat masa ini menjadi tumpuan kempen BN. Usul PAS mengenai hudud merupakan satu contoh.
4. KURANGKAN KEBIMBANGAN TERHADAP PENGUASAAN OLEH MANA-MANA PARTI
Walaupun mungkin ada pengundi yang kurang yakin dengan janji perubahan seperti yang terkandung di dalam manifesto, satu lagi faktor yang dapat mengurangkan rasa takut ini adalah dengan menjelaskan bahawa tiada satu parti pun yang akan dapat menguasai kerajaan Barisan Alternatif. Ini boleh dijamin melalui pembahagian kerusi. Contohnya, tiada parti, samada PAS atau KeADILan, yang akan bertanding lebih dari 65 kerusi (DAP kurang dari angka ini) tetapi Barisan Alternatif memerlukan 97 kerusi untuk membentuk majoriti. Jadi tidak ada kemungkinan bahawa salah satu parti akan dapat memerintah bersendirian, sepertimana yang boleh dilakukan oleh UMNO sekiranya ia mahu berbuat demikian. DAP juga terus berusaha mengurangkan perasaan kebimbangan terhadap konsep negara Islam dengan memperingatkan bahawa PAS yang tidak akan bertanding dalam dua pertiga kerusi, sekaligus tidak akan dapat membuat perubahan kepada Perlembagaan.
5. BENTUKKAN KABINET BAYANGAN
Satu lagi cara untuk mengurangkan rasa takut kepada perubahan adalah dengan menjelaskan kepada pengundi SIAPAKAH yang akan mereka undi. Ini bermakna menubuhkan Kabinet Alternatif yang bersatu. Pada awal bulan Julai, beberapa NGO telah menggesa parti-parti alternatif bersatu padu mecapai kata sepakat dan membentuk satu alternatif yang mantap kepada pemerintahan BN. NGO-NGO ini menggesa parti-parti alternatif supaya membentangkan dasar-dasar yang jelas dan menubuhkan kabinet bayangan, termasuk Perdana Menteri altenatif. Di kebanyakan sistem demokrasi, adalah menjadi kelaziman bagi setiap parti pembangkang menubuhkan Kabinet Bayangan.
Pembentukan Kabinet Bayangan mungkin jauh lebih penting dari mengenalpasti PM alternatif. Terutama sekali memandangkan bahawa parti alternatif memang mencadangkan bahawa kuasa PM harus dikurangkan berbanding dengan sekarang. Pembentukan Kabinet Bayangan merupakan mesej yang kuat kepada pengundi, sekaligus membiarkan pengundi membuat keputusan samada mereka percaya kepada kabinet ini untuk menyelaraskan kerajaan negara dan mengurangkan rasa takut tersebut. Parti alternatif mungkin bimbang bahawa mengenalpasti menteri Bayangan mungkin akan mendedahkan mereka kepada kempen propaganda BN yang bertujuan mengaibkan kebolehan mereka. Tetapi ini mungkin tetap berbaloi. Adakah menteri-menteri BN telah menampakkan kebolehan yang tinggi?
Pembentukan Kabinet Bayangan bukanlah mudah. Tahap kerjasama Barisan Alternatif mungkin belum cukup sepadu untuk mengambil langkah ini. Tambahan pula, perundingan yang begitu sulit mungkin memberi tekanan yang lebih kepada pakatan mereka. Walaubagaimanapun, pada pandangan pengundi, ini merupakan "ujian" samada parti-parti alternatif benar-benar membentangkan alternatif tulen kepada BN. Nescaya, ianya dapat mengurangkan rasa takut para pengundi.
6. KENALPASTI PM ALTERNATIF DAN/ATAU JANJI MENGURANGKAN KUASA PM.
Spekulasi mengenai identiti PM dibawah barisan Alternatif merupakan satu lagi fokus bagi BN. BN sudahpun cuba menggembar-gemburkan idea bahawa kedua-dua Lim Kit Siang dan Fadzil Noor mahu menjadi PM. BN tahu bahawa kedua-dua pilihan ini akan menimbulkan rasa ketidakpuasan hati dikalangan sektor-sektor masyarakat tertentu.
Mengenalpasti PM alternatif yang boleh diterima ramai adalah sukar dan kontroversial. Tetapi untuk mengurangkan taktik-taktik penakutan ini, parti-parti alternatif perlu menghadapi isu ini dari cara apa sekali pun, samada dengan menamakan PM alternatif yang mempunyai daya tarikan yang meluas dan/atau mengurangkan kuasa pejabat PM sendiri supaya isu ini menjadi kurang penting. Jika PM alternatif dinamakan, pastinya beliau akan menjadi sasaran kutukan BN. Sememangnya, semua calon yang relevan sudah pun kuat diaibkan (contohnya Wan Azizah, Fadzil Noor, Anwar Ibrahim). Mungkin Syed Husin Ali, walaupun PRM parti terkecil (dan juga disebabkan PRM parti terkecil dan jelas PRM tidak akan menguasai kerajaan) merupakan PM alternatif yang boleh diterima ramai, memandangkan imej beliau yang bersih, sederhana dan nyata mempunyai kemahiran, pengalaman dan pengetahuan yang diakui. Dengan tidak menamakan PM alternatif, taktik sengaja menakutkan yang dibuat oleh BN mengenai isu ini akan berterusan dan akan mempunyai kesan ke atas pengundi.
7. KERAJAAN PERPADUAN NASIONAL
"Kerajaan Perpaduan Nasional" adalah satu bentuk kerajaan yang merangkumi hampir semua (jika tidak kesemua) kuasa-kuasa besar di sesebuah negara. Ini merupakan satu lagi cadangan untuk mengurangkan rasa takut di kalangan rakyat terhadap perubahan dan yang tidak diketahui. Kerajaan Perpaduan lazim dilaksanakan di negara-negara yang menghadapi krisis besar seperti peperangan, perang saudara, rusuhan dalam negeri ataupun yang sedang melangkah dari satu kerajaan kuku besi kepada kerajaan yang lebih demokratik. Tujuannya adalah untuk memberikan negara itu ruang untuk "bernafas" sementara perubahan besar atau pembaikpulihan sedang berlaku, tanpa pertumpahan darah. Sebaik-baiknya, satu Kerajaan Perpaduan akan merangkumi semua pendapat (termasuk pendapat-pendapat yang bercanggah) dan boleh membantu supaya pendapat-pendapat yang berlainan boleh dirunding secara aman, memberi ruang supaya keadaan lebih tenang, sekaligus mengelakkan ketidakstabilan.
Salah satu contoh Kerajaan Perpaduan Nasional yang baik adalah di Afrika Selatan ketika dibawah perlembagaaan sementara yang berkuatkuasa buat beberapa tahun selepas pilihanraya semua-bangsa yang pertama pada tahun 1994. Walaupun parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) telah menang dengan majoriti yang begitu baik semasa pilihanraya-pilihanraya itu, Kerajaan Perpaduan Nasional (dan kabinet) telah melibatkan Parti Nasional (NP) yakni pemerintah aparteid, dan juga Parti Kebebasan Inkatha (musuh ketat ANC). Walaupun sebilangan dari ahli-ahli telah meninggalkan kerajaan secara beransur-ansur, cara ini telah memastikan bahawa peralihan dari sistem aparteid telah berjalan dengan lancar dan aman. Di Nigeria, cadangan untuk satu Kerajaan Perpaduan Nasional telah dianjurkan. Pada masa ini, Indonesia juga nampaknya satu "calon" yang baik bagi Kerajaan Perpaduan sebegini untuk memastikan peralihan ke arah sistem yang lebih demokratik dan untuk membantu mengubati luka lama. Bagaimana pula dengan Malaysia?
Sebenarnya, bukankah ada contoh terdahulu dalam sejarah Malaysia untuk satu Kerajaan Perpaduan? Kerajaan BN, sejurus selepas berubah dari Alliance berikutan rusuhan 1969, mempunyai ciri-ciri Kerajaan Perpaduan Nasional. Tiga parti pembangkang yang utama (Gerakan, PAS dan PPP) yang telah mendapat kemenangan yang baik pada pilihanraya 1969 telah dijemput menyertai Kerajaan yang telah ditubuhkan pada masa itu. Sebagaimana lumrah kebanyakan Kerajaan Perpaduan, tujuannya adalah untuk melaksanakan perubahan-perubahan besar (contohnya Dasar Ekonomi Baru) dan juga untuk memulih keretakan dan pertelingkahan (walaupun pada realitinya ini telah dilakukan dengan tidak begitu sempurna). PAS pulang menjadi pembangkang pada tahun 1977 manakala Gerakan masih lagi bersama BN.
8. APAKAH KEMUNGKINAN TERTUBUHNYA KERAJAAN PERPADUAN NASIONAL DI MALAYSIA?
Cadangan yang wajar dan kuat dari parti-parti alternatif untuk satu Kerajaan Perpaduan Nasional boleh mengurangkan rasa takut kepada perubahan yang dirasai oleh pengundi. Boleh dikatakan, pematahan 42 tahun pemerintahan gabungan parti yang kian bersifat autokratik yang diketuai oleh UMNO, merupakan satu peralihan yang benar-benar memerlukan Kerajaan Perpaduan Nasional yang sebegini. Sekurang-kurangnya satu parti telah mula meninjau idea ini secara serius. Pada Kongres Nasional PRM ke-32 pada 27 Jun 1999, President parti PRM, Dr Syed Husin Ali, antara lain telah berkata:
"Beberapa pandangan telah dikemukan bahawa rakyat belum bersedia untuk satu perubahan yang besar dan mengejut. Oleh kerana itu perlulah kita memikirkan jalan yang lain. Barangkali masanya sudah tiba untuk kita memikirkan tentang konsep pembentukan sebuah Kerajaan Perpaduan Nasional. Ertinya, dari awal lagi parti-parti alternatif hendaklah mengumumkan bahawa jikalau mereka memenangi majoriti, maka mereka akan membuka pintu kepada elemen-elemen yang baik dalam BN untuk turut serta dalam pembentukan sebuah pemerintahan bersama utnuk perpaduan nasional. Jalan ini tidaklah terlalu radikal. Bahkan ia menunjukkan arah kepada perubahan secara evolusi atau beransur-ansur."
Untuk mengurangkan rasa takut di kalangan pengundi, apa jua cadangan untuk Kerajaan Perpaduan Nasional mestilah boleh dijayakan dan mempunyai kredibiliti yang tinggi supaya pengundi yakin bahawa kewujudan kerajaan yang sebegini mempunyai kemungkinan yang besar sekiranya parti-parti alternatif menang dengan majoriti. Cadangan itu juga mestilah boleh diterima oleh penyokong-penyokong parti-parti Alternatif yang marah dan sangsi terhadap BN. Supaya cadangan ini mempunyai kredibiliti dan boleh diterima ramai, tawaran untuk menyertai Kerajaan Perpaduan Nasional mestilah disertai SYARAT-SYARAT yang ketat. Perlu ditekankan bahawa dibawah Kerajaan Perpaduan Nasional, parti-parti komponen BN akan dijemput menyertai kerajaan berserta ahli Parlimen individu yang mahu turut serta. Syarat-syarat tersebut boleh juga menyatakan bahawa parti-parti BN hanya boleh menyertai Kerajaan Perpaduan jika:
· mereka memecat pemimpin-pemimpin yang tidak berwibawa dan tidak boleh diterima oleh parti-parti alternatif;
· mereka bersetuju kepada beberapa prinsip asas yang tertentu untuk reformasi;
· dalam kes UMNO, yang berkemungkinan akan masih menjadi parti yang terbesar di Parlimen, ia perlu bersetuju memainkan peranan yang lebih kecil, walaupun jumlah perwakilannya adalah besar.
Pastinya, langkah ini mempunyai banyak masalah yang mungkin berlaku. Pertama, parti-parti BN akan cuba sedaya-upaya menafikan bahawa mereka akan walau mempertimbangkan sekali pun untuk menyertai satu Kerajaan Perpaduan, walaupun sekiranya mereka kalah dalam pilihanraya. Ini bukanlah masalah yang besar, memandangkan pengundi akan tahu hakikat sebenar. Besar kemungkinan, katakanlah BN kalah, bahawa beberapa parti BN akan menyertai satu Kerajaan Perpaduan Nasional.
Pastinya juga, menjayakan suatu Kerajaan Perpaduan itu akan mempunyai masalah. Tetapi fokus di sini adalah untuk membentuk satu cadangan yang kuat untuk mengurangkan rasa takut di kalangan pengundi. Cubaan yang ikhlas mestilah dibuat untuk menjayakan sesuatu Kerajaan Perpaduan buat jangkamasa panjang, tetapi ini mungkin tidak akan berlaku. Tetapi jika Kerajaan Perpaduan Nasional beroperasi selama beberapa bulan ataupun setahun, kebanyakan dari tujuannya akan tercapai (yakni untuk meyakinkan pengundi bahawa mengundi untuk barisan alternatif bukan satu tindakan yang berisiko tinggi.
9. KERAJAAN PERPADUAN JIKA BN MENANG DENGAN MAJORITI YANG KECIL.
Perbincangan di atas telah dibuat berdasarkan cadangan untuk menampilkan barisan alternatif sebagai satu kemenangan yang tidak begitu menakutkan. Walaubagaimanapun, Dr Mahathir juga cuba menakutkan pengundi dengan mengatakan bahawa kemenangan yang "kecil" akan membentuk satu kerajaan yang lemah. Cadangan Kerajaan Perpaduan ini mungkin juga dapat mengurangkan kebimbangan terhadap keadaan ini juga. Barangkali, parti-parti alternatif dapat menyangkal taktik-taktik menakutkan ini dengan mengatakan bahawa sekiranya BN menang dengan majoriti kecil, parti-parti alternatif rela menyertai satu Kerajaan Perpaduan Nasional, dengan syarat-syarat ketat. Sekali lagi, syarat-syarat ini boleh bertumpu kepada isu menamatkan pencabulan kuasa dan perubahan-perubahan demokratik menjurus ke arah pilihanraya di masa yang akan datang yang lebih bebas dan adil. Jika BN benar-benar bimbang tentang pembentukan kerajaan yang lemah, ia patut mempertimbangkan secara serius cadangan Kerajaan Perpaduan Nasional.
KESIMPULAN
Barisan Alternatif mempunyai banyak cara, tanpa bertolak ansur di atas prinsip pegangan mereka, untuk mengurangkan rasa takut kepada perubahan dan rasa takut terhadap keadaan yang tidak dikenali di kalangan pengundi. Apa yang ditekankan di sini adalah cadangan-cadangan yang ikhlas, bukannya taktik politik yang tidak tulus. Sesetengah dari pilihan ini lebih berkesan dan lebih berkemungkinan dari yang lain. Sesetengah merupakan langkah yang lain dari yang biasa, manakala sesetengah yang lain sudahpun mula digunakan. Semua pilihan-pilihan perlu dipertimbangkan kerana selagi rasa takut ini dikurangkan, parti-parti alternatif mungkin tidak ada peluang yang sebenarnya untuk mencapai kemenangan.