Idea untuk mencalonkan calon wanita bebas telah diusulkan pada bulan Julai
1998 sebagai mengakui bahawa ini akan menggalakkan penyertaan wanita dalam bidang politik pada peringkat pembuatan keputusan yang tertinggi di negara ini. Idea ini telah membawa sekumpulan wanita dari pelbagai latarbelakang untuk membincangkan kemungkinan ini.
Pada bulan September tahun yang sama, sebagai tindakbalas kepada krisis-krisis politik dan ekonomi yang melanda negara, kumpulan ini terus mengadakan perjumpaan dan perbincangan mengenai kesan perkembangan politik yang berlaku pada masa itu. Perbincangan itu bertumpu kepada tindakbalas-tindakbalas yang berpotensi terhadap kemelut politik yang melanda dan juga bertumpu kepada kesan krisis ekonomi.
Beberapa idea bernas telah diperbincangkan, dan idea untuk meletakkan calon wanita bebas dalam pilihanraya umum ke 10 yang akan datang ini dibincangkan dengan lebih keyakinan. Adalah dirasakan bahawa inisiatif sebegini akan menambahkan satu elemen baru dalam politik Malaysia dan tidak mempergunakan isu-isu politik yang berdasarkan perkauman semasa kempen pilihanraya.
Yang penting sekali, adalah dirasakan bahawa calon sebegitu akan membuka ruang kepada wanita untuk menceburkan diri mereka dalam arena politik, untuk membawa isu-isu wanita ke tahap politik dan juga menambahkan pengalaman dalam politik tanpa dibendung oleh struktur parti
yang boleh menyukarkan lagi penglibatan wanita dalam politik.
Dalam proses perbincangan, beberapa ahli kumpulan ini telah melihat semula 'Manifesto Wanita' iaitu suatu dokumen yang telah disediakan oleh organisasi-organisasi wanita pada tahun 1990 dan telah diperakui oleh beberapa organisasi dan individu dalam masa menghadapi pilihanraya pada tahun itu. Ini telah melahirkan suatu inisiatif seiring, yang mengemaskinikan 'Manifesto Wanita' yang seterusnya dinamakan Agenda Wanita untuk Perubahan. Proses Agenda Wanita untuk Perubahan telah menjadi lebih tersusun; dengan pelbagai organisasi bersatu untuk membentuk sebuah jawatankuasa penyelaras. Inisiatif ini mencetuskan momentum dan dinamisnya tersendiri. Agenda Wanita untuk Perubahan akhirnya terbentuk menjadi suatu dokumen polisi bertumpu kepada sebelas isu.
Ianya merupakan adalah suatu langkah yang amat penting bagi penyokong-penyokong idea pencalonan calon wanita, tetapi masih terdapat berbagai rintangan yang harus dihadapi.
Pada 14 Mac 1999 di Petaling Jaya, satu perjumpaan telah diadakan untuk menentukan kekuatan sokongan untuk inisiatif ini. Sokongan yang diterima sungguh menggalakkan dan telah memberikan motivasi kepada ramai dari mereka yang hadir untuk terus bertemu untuk membincangkan bagaimane proses ini boleh dimajukan. Proses ini memakan masa beberapa bulan dimana perjumpaan-perjumpaan telah diadakan dengan lebih ramai wanita dan lelaki sebelum inisiatif yang ada kini terbentuk.
Kami menggelarkan diri kami Inisiatif Calon Wanita(ICW). Dengan kumpulan asasnya yang terdiri dari individu-individu yang berkomitmen tinggi, serta ramai penyokong-penyokong, ICW nyata telah membina potensi untuk memberikan kesan politik yang kukuh.
Sebahagian dari platform atau persada ICW [link to WCI platform] adalah berdasarkan pada Agenda Wanita untuk Perubahan. Platform ICW ini menjurus secara keseluruhannya pada visi ICW terhadap masa depan wanita dan lelaki Malaysia dan menggariskan secara amnya akan prinsip-prinsip pegangan ICW.
Dalam keadaan pilihanraya yang semakin hampir ini, ICW terus mencuba dan membentuk potensinya, dengan tujuannya yang berkemungkinan besar, yakni untuk meletakkan calon untuk bertanding dalam kawasan berparlimen. Dalamasa proses ini, ICW telah menerima banyak galakan dari berbagai pihak, terutamanya dari Parti Rakyat Malaysia [link to PRM] yang telah memberi sokongan kepada usaha-usaha kami sejak peringkat awal lagi.
Pada masa ini, ICW sedang menumpukan perhatiannya kepada bidang yang amat dicenderunginya iaitu pendidikan pengundi wanita. Risalah-risalah dan bahan bacaan kesemuanya menumpukan perhatian kepada pentingnya wanita sebagai pengundi, dan pentingnya wanita membuang undi, serta segala yang perlu dipertimbangkan semasa mengundi. ICW sedar bahawa hampir kesemua aktiviti kesedaran politik di Malaysia tidak sampai kepada kaum wanita, terutamanya kerana kegagalan struktur politik yang sedia ada untuk mendorong penglibatan mereka. Inilah ruang kosong yang cuba diisi oleh ICW.
Kami juga berusaha sedaya-upaya untuk menjayakan pencalonan kami dengan membuat kerja-kerja asas dalam menambahkan kesedaran tentang isu-isu politik di kalangan pengundi wanita dan juga pengundi lelaki. Ini dilakukan dengan aktitiviti-aktiviti seperti pengagihan risalah yang berbentuk kesedaran umum kepada bakal-bakal pengundi dan juga mengadakan perjumpaan dengan beberapa kumpulan-kumpulan kecil untuk lebih mengenali isu-isu yang penting bagi kumpulan-kumpulan tersebut.
**************************************************************